Apa yang Pak Ngah Tulis...

Powered by Blogger Widgets

Monday, June 29, 2009

Pas Kedah perlu tunai janji manifesto PRU 12

KETIKA Pas Kedah melancarkan manifesto pilihan raya khusus untuk negeri ini pada 24 Februari lalu, mungkin tidak ramai yang memandang serius isi kandungan buku setebal 17 muka surat itu.

Ini kerana ketika itu manifesto yang mengemukakan pakej tawaran ‘Kedah Sejahtera: Nikmat Untuk Semua’ hanya dilihat sebagai pelengkap syarat pada kempen pilihan raya Pas Kedah dalam usahanya menawan negeri jelapang padi ini.

Sehingga tarikh pembuangan undi Sabtu lalu, tiada siapa berani meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tumbang di negeri ini. Bagaimanapun suasana berubah sekelip mata apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan.

Pas menang 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan manakala rakan pakatannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat empat kerusi, DAP dan Bebas masing-masing satu kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan baru apabila Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi 14 kerusi.

Kemenangan itu juga menyebabkan manifesto Pas Kedah yang sebelum ini tidak mendapat perhatian tiba-tiba menjadi tumpuan termasuk daripada kalangan warga media. Semasa Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak mengadakan sidang akhbar pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru di Wisma Darul Aman kelmarin, beliau disoal bertalu-talu mengenai manifesto yang menggariskan 15 pakej tawaran itu.

Hampir semua soalan berkaitan manifesto tersebut menjurus kepada sejauh mana janji-janji tersebut akan dilaksanakan dan keupayaan kerajaan Pas Kedah menunaikannya. “Ada benda yang kita utamakan dan ada benda yang akan dilambatkan sikit. Kita akan ‘study’ dulu dan tengok mana satu akan diberi keutamaan untuk melaksanakannya,” kata Azizan.

Menurutnya, ia akan cuba dilaksanakan semaksimum mungkin dengan mengutamakan perkara-perkara yang penting untuk dilakukan dahulu. Ironinya, tumpuan yang diberikan kepada manifesto Pas Kedah itu menggambarkan bahawa kerajaan baru pimpinan Azizan kini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menunaikan segala janji-janji pilihan raya tersebut. Segala yang terkandung dalam manifesto berkenaan perlu dilaksanakan bagi menepati janji yang telah ditabur kepada masyarakat selepas Pas berjaya membentuk kerajaan di Kedah.
Antara perkara menarik yang ditawarkan dalam manifesto tersebut ialah Pas Kedah mahu menjadikan negeri ini sebagai ‘Belanda Malaysia’, memotong elaun-elaun dan keistimewaan tidak munasabah yang dinikmati Menteri Besar dan barisan Exco serta meneruskan pemberian lesen premis menjual arak dan babi mengikut keperluan.

Selain itu, manifesto tersebut turut menawarkan pemberian cuti bersalin selama tiga bulan kepada kakitangan kerajaan tanpa mengehadkan bilangan anak dan cuti 14 hari untuk mereka yang kematian pasangan. Pas Kedah juga menawarkan akan memberi lebih banyak bantuan dan kemudahan kepada rakyat seperti memberi potongan antara 25 hingga 75 peratus daripada perbezaan kenaikan cukai yang dikenakan mulai tahun 2006; memberi subsidi air untuk masjid dan rumah kebajikan yang berdaftar serta memperbanyakkan kemudahan tempat meletak kenderaan di bandar-bandar utama.

Justeru, sepanjang penggal pemerintahannya nanti, keupayaan Pas Kedah untuk melaksanakan 15 perkara pokok yang digariskan dalam manifesto tersebut juga akan dinilai, bukan sahaja oleh penduduk bahkan oleh BN yang kini menjadi pembangkang di negeri ini. Ini kerana janji yang dibuat itu bukan janji biasa, tetapi janji mengenai masa depan dan corak kehidupan penduduk di negeri ini yang tidak boleh dipertaruhkan.

Kata orang, janji perlu dikota dan kali ini tiba masanya kerajaan Pas Kedah menunaikan apa yang ditaburnya ketika kempen pilihan raya sepanjang penggal pemerintahannya nanti.
Oleh SHARIZA ABDULLAH (Utusan.com.my)
Pak Ngah dok perati tengok tak dak satu pun janji dalam manifesto tu yang telah dilaksanakan. Yang ada pun dok ulang kata nak jadikan Kedah macam Belanda, dok ulang hak tu hak tu saja sampai naik cemuih Pak Ngah dengaq. Janji nak belanja berhemah tapi dengaq kata exco-exco pakat pi jalan luaq negeri sampai sebulan 2 kali, kata nak potong elaun MB dengan exco tak potong pun tambah lagi ada katanya. Ni apa cerita ni cuba habaq mai sat. Dah dekat pilihanraya pulak dah satu apa pun tak nampak lagi di Kedah ni. Bab PR nak kalah ka nak menang ka masa PRU 13 nanti ni hak tu bab no. 2. Perkara yang penting la ni rakyat Kedah kena bagi sejahtera dulu sebab yang tu ada dalam manifesto PAS. Kalau tak buat Pak Ngah rasa tak patut la satni orang kata Kerajaan PAS tipu rakyat Kedah. ...Malu Pak Ngah kalau rakyat Kedah kata lagu tu sebab dulu Pak Ngah bersungguh-sungguh kempen bagi kat PR.

1 comment:

  1. Depa bukan janji pun kat kita. Manifesto tu depa pelekat kat pokok, depa janji kat pokok kut.

    Dah jenih puak siamang, terha tu dah la. Hingaq bila berpuak. Apa satu pun tak jadi. Pelaq...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.