Apa yang Pak Ngah Tulis...

Powered by Blogger Widgets

Thursday, June 25, 2009

Ulamak Jahat?

Pak Ngah nak kongsi sikit penulisan seorang hamba Allah yang Pak Ngah jumpa di satu forum di internet.

Rasulullah SAW di dalam beberapa hadisnya ada menyebut bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan batil dan memahami al-Quran serta al-Hadis sanggup mencampur-adukkan perkara yang hak dan yang batil. Mereka itu adalah ulamak yang sesat dan menyeleweng.

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat, "apakah amal perbuatan yang paling utama?" Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan." Sahabat berkenaan bertanya lagi, "manusia yang bagaimana yang paling buruk?" Baginda menjawab, "ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat Jamaah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rosaknya agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad." (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan ke dalam neraka jahanam pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli neraka lain bertanya: "mengapakah anda jadi begini sedangkan anda sentiasa menyuruh kami berbuat baik dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik tetapi saya tidak melakukannya dan saya yang melarang anda tidak melakukannya tetapi saya sengaja melanggarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Beberapa peringatan berkenaan menunjukkan wujudnya ulama yang tidak menepati ciri-ciri ulama. Apa yang penting ialah ilmu dan penghayatannya serta niat seseorang. Ulama yang berhati bersih, jujur, teguh pendiriannya dan mengutamakan Allah serta RasulNya tetap berpegang teguh pada prinsip dan amanah. Mereka memahami bahawa Allah melaknat mereka jika taraf ulama yang ada pada diri mereka diselewengkan.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan petunjuk setelah kami nyatakan kepada manusia dalam al-Quran, mereka dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang dapat melaknati mereka." (al-Baqarah-159)

Ulama yang menunjukkan sikap jujur, bersih dan ikhlas demi menegakkan kalimah Allah dan syiar Islam, mereka inilah yang termasuk dalam golongan yang disebut sebagai "Ulama warasatul anbiyaa".

Bagaimanapun, ulama yang mengingkari perjanjian dengan Allah serta mempunyai niat untuk kepentingan diri sehingga sanggup menggadaikan ilmunya yang tinggi perlulah kembali ke pangkal jalan. Mereka perlu menghayati sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Seorang ulama yang menggunakan ilmunya untuk mencari keredhaan Allah, maka segala sesuatu akan tunduk dan kagum kepadanya. Tetapi jika dia menggunakan ilmunya hanya untuk mendapatkan harta dunia, maka hilanglah sesuatu daripadanya." (Hadis Riwayat Dailami )

Pak Ngah harap mereka yang menganggap diri mereka sebagai ulamak kenalah sentiasa menginsafi diri bagi mengelakkan mereka tergolong di kalangan Ulamak Jahat. Lebih-lebih lagi bagi ulamak yang terlibat dengan politik dan menjadi pemimpin sesebuah negeri. Jangan dok ingat nak himpun kekayaan sewaktu ada kuasa menjadi pemimpin sesuatu negeri kot nanti tersilap langkah. Biasalah bila dah jadi ahli politik ni kenalah bohong sikit-sikit walaupun tak banyak, kekadang tu terpengatruh juga dengan hasutan hawa nafsu yang ingin menjadi kaya. Jadikan lah Rasulullah SAW sebagai idola jangan kita terpedaya dengan hasutan iblis, syaitan dan hawa nafsu.

Allah hu’alam bissawab.

1 comment:

  1. Pak Ngah, mohon utk copy artikel ini ke blog saya:

    http://exception2008.blogspot.com/

    Thanxxx

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.